Insentif potongan cukai kepada penyumbang i-FB bermula 2027

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali/ BERNAMA

KOTA KINABALU, 10 Oktober – Kerajaan memperkenalkan insentif potongan cukai khas kepada pihak yang menyumbang makanan dan peralatan bagi menjayakan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB), berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Insentif potongan cukai diumumkan dalam Belanjawan dan salah satu daripada 44 langkah percukaian kerajaan.
  • Matlamat untuk menggalakkan penyertaan sektor korporat, NGO dan individu membantu golongan memerlukan.
  • Langkah ini mengiktiraf penyumbang, mengurangkan pembaziran makanan dan memelihara alam sekitar.
  • KPDN akan mengadakan penyelarasan lanjut bersama Kementerian Kewangan untuk memperincikan mekanisme pelaksanaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, insentif yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 itu merupakan antara 44 langkah percukaian kerajaan, termasuk cadangan yang dikemukakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menurut beliau, insentif berkenaan bertujuan menggalakkan penyertaan lebih ramai pihak, khususnya sektor korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu, dalam membantu golongan memerlukan.

Pada masa sama, langkah itu menjadi pengiktirafan kepada penyumbang yang bersama-sama kerajaan menangani kos sara hidup, selain mengurangkan pembaziran makanan dan memelihara alam sekitar.

“Ini sebenarnya satu agenda untuk mengelakkan pembaziran melalui penyelamatan makanan dan sekali gus dalam usaha kita memelihara alam sekitar.

“Kita berterima kasih kepada Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri kerana menerima syor layanan cukai kepada mereka yang menyumbang kepada program Food Bank ini,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Makan Malam Alumni Homecoming dan Fundraising di sini, hari ini.

Datuk Armizan berkata, KPDN akan mengadakan penyelarasan lanjut bersama Kementerian Kewangan bagi memperincikan mekanisme pelaksanaan insentif berkenaan supaya dapat berkuat kuasa mengikut tempoh yang diumumkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.