KUALA LUMPUR, 13 Februari – Tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta bagi menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan persetujuan itu diberikan Syed Mokhtar ketika dihubungi hari ini, susulan pengumuman penyelarasan harga lantai belian padi kepada RM1,500 per metrik tan yang berkuat kuasa 16 Februari ini.
"Saya juga ingin menyatakan penghargaan kepada BERNAS yang telah bersama-sama dengan kerajaan dalam memastikan kebajikan pesawah terbela. Sebelum ini, BERNAS telah menyalurkan RM60 juta kepada pesawah miskin," kata Anwar dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, mengumumkan keputusan kerajaan untuk menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan.
Anwar berkata penyelarasan itu merupakan kali kedua dalam tempoh dua tahun selepas kenaikan pertama pada 2023, yang menyaksikan harga lantai belian padi meningkat daripada RM1,200 setelah hampir sedekad tidak berubah.
"Usaha membantu pesawah menjadi antara agenda pertama saya tatkala diberi amanah mengemudi negara," kata Anwar.