fb fb fb fb fb

Baitulmal MAIK peruntuk RM636,000, untuk penerima bantuan Aidilfitri tahun ini

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah berkenan menyampaikan sumbangan kepada penerima

SUNGAI PETANI, 28 Mac- Seramai 3,060 orang golongan kurang bernasib baik di Kedah menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) pada tahun ini.
 
Bantuan berkenaan melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM636,000.
 
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin merangkap Yang Dipertua MAIK bertitah, pihak Baitulmal menetapkan dasar supaya agihan bantuan hari raya itu hendaklah diagihkan kepada golongan yang tercicir daripada menerima bantuan sama ada daripada pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
 
Ia bagi memastikan agihan bantuan tersebut dinikmati oleh semua golongan yang memerlukan.
 
Baginda bertitah, setiap penerima yang terpilih akan menerima wang tunai berjumlah RM200 yang akan disalurkan menerusi 588 masjid dalam kariah masing-masing.
 
"Kami semua berharap supaya bantuan ini dapat mengurangkan beban golongan yang memerlukanlah menjelang ketibaan hari raya nanti."

"Ada lebih kurang 13 hari lagi. Setiap masjid ini mereka akan agihkan mengikut kariah mereka masing-masinglah," titah Tengku Sarafudin Badlishah kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1445H/2024M di Masjid Al-Majidi, Sungai Layar Hujung, di sini.
 
Pada majlis itu, seramai 120 penerima menerima sumbangan melibatkan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM48,000.
 
Penerima sumbangan yang ditemui menzahirkan ucapan terima kasih dan terharu diatas usaha murni pihak Baitulmal MAIK menghulurkan sumbangan kepada mereka yang kurang bernasib baik.
 
"Terima kasih kepada Raja Muda Kedah bagi sumbangan kepada makcik dengan semua penerima lain," kata Majidah Ahmad.

"Terima kasih Raja Muda Kedah beri sumbangan kepada patik. Makcik sakit urat saraf, tidak boleh berjalan, bangun berdiri lama pun tidak boleh tetapi hari ini kira sihat sedikit lah ini. Hari itu lagi tidak boleh bangun, hampir setahun lebih dah," kata Sharifah Badariah Syed Mohammad.
 
Baitulmal MAIK turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan pihak Baitulmal di dalam usaha menyalurkan apa-apa jenis bantuan untuk disalurkan kepada golongan sasaran.
 
Selain daripada agihan bantuan, pihak Baitulmal MAIK juga turut menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk membantu masyarakat di negeri Kedah.
 
Antaranya perkhidmatan membayar fidyah dan kafarah, Infaq fi sabilillah, Wakaf Tunai dan perkhidmatan pembersihan wang-wang atau harta tidak patuh syariah yang diperolehi dari sumber-sumber yang meragukan.
 
Sebelum ini, Baitulmal MAIK telah mengagihkan kutipan fidyah dan kafarah bagi tahun 1445H kepada golongan fakir miskin di Negeri Kedah sebanyak RM3.428 juta yang melibatkan hampir 10,000 penerima.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM