
MELAKA, 10 Mei – Arkib Komuniti mampu menjadi medium penting dalam usaha memasyarakatkan arkib serta memperkukuh perpaduan nasional menerusi pemeliharaan sejarah dan warisan pelbagai kaum di negara ini.
- Program menggalakkan masyarakat menyerahkan bahan sejarah dan warisan untuk dipelihara sebagai khazanah negara.
- Inisiatif merekod dan mendokumentasi budaya: Bajau di Kampung Gelam, dokumentasi Kuala Lumpur, alumni Sekolah Iskandar Shah, Gendang Sarawak dan aktiviti Kuching.
- Arkib Komuniti@Rumah KAMI menghimpun kepelbagaian etnik Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, mencerminkan budaya yang memperkukuh perpaduan negara.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata pelbagai program Arkib Komuniti telah dirancang termasuk penganjuran Sambutan Minggu Perpaduan dan Arkib Komuniti Peringkat Kebangsaan Zon Selatan 2026 yang berlangsung di Melaka.
Menurut beliau, program yang diperkenalkan sejak tahun lalu itu bertujuan menggalakkan masyarakat menyerahkan bahan sejarah dan warisan untuk dipelihara sebagai khazanah negara bagi generasi akan datang.
“Bagi tahun ini, program Arkib Komuniti akan menumpukan beberapa inisiatif termasuk merekodkan budaya warisan Bajau di Kampung Gelam, Sabah, selain dokumentasi komuniti di Kuala Lumpur, serta penglibatan alumni Sekolah Iskandar Shah di Perak. Kita juga akan mengadakan program berkaitan Gendang Sarawak dan aktiviti kebudayaan di Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan dan Arkib Komuniti Peringkat Kebangsaan Zon Selatan 2026 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, Melaka.
Program berkenaan turut menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk Arkib Komuniti@Rumah KAMI yang menghimpunkan kepelbagaian budaya dan etnik di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.
Antara komuniti yang terlibat ialah Portugis, Baba Nyonya, Chetti, Melayu Jawa, Cina, Orang Asli serta Melayu Minangkabau, sekali gus mencerminkan kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan perpaduan negara.