Keletihan emosi, cabaran terbesar ibu bapa anak autistik

Foto hiasan / BERNAMA

RINGKASAN BERITA AI
  • Keletihan emosi atau burnout kerana anak autistik memerlukan perhatian serta pemantauan berterusan.
  • Kebimbangan tentang masa depan penjagaan anak dan perasaan penat serta putus asa perlu diatasi dengan pemulihan diri.
  • Masyarakat perlu lebih memahami keluarga autistik dan ibu bapa digalakkan mendapatkan terapi serta intervensi awal.

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Membesarkan anak autistik memerlukan kekuatan emosi dan tahap kesabaran yang tinggi, khususnya apabila ibu bapa perlu mengimbangi perhatian antara anak istimewa dan anak-anak lain dalam keluarga.

Ibu kepada anak autisme yang juga pempengaruh, Siti Sarah Mohammad Suhaimi berkata, cabaran terbesar yang dihadapi golongan ibu bapa ialah keletihan emosi atau burn out kerana anak autistik memerlukan perhatian serta pemantauan berterusan.

Menurut beliau, masyarakat sering melihat sesebuah keluarga kelihatan baik dari luaran, namun hakikatnya ibu bapa berdepan tekanan emosi yang besar dalam mengurus tingkah laku anak, termasuk perubahan emosi dan tindakan yang tidak menentu.

“Cabaran paling besar bagi kami ialah mengawal emosi sebagai ibu kepada anak autistik. Ada kalanya kami memikirkan tentang masa depan mereka, terutama apabila mengenangkan siapa yang akan menjaga mereka sekiranya kami sudah tiada suatu hari nanti.

“Perasaan bimbang dan terlalu banyak berfikir sememangnya antara cabaran yang perlu dihadapi.

“Sudah tentu tidak benar jika dikatakan saya tidak pernah berasa penat dan putus asa. Namun, apabila berdepan situasi sedemikian, saya akan mengambil sedikit masa untuk menenangkan diri dan memulihkan semangat bagi membina kembali kekuatan.

“Ini kerana mereka sentiasa memerlukan perhatian dan sokongan kita pada setiap masa. Oleh itu, kita tidak boleh terus tenggelam dalam rasa penat dan putus asa terlalu lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu Program Selamat Pagi Malaysia di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Siti Sarah turut menyeru masyarakat agar lebih memahami keluarga yang mempunyai anak autistik memandangkan kes autisme kini semakin meningkat.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa yang baharu menerima diagnosis autisme anak supaya segera mendapatkan bantuan dan terapi daripada pakar.

Katanya, intervensi awal amat penting bagi membantu perkembangan anak selain memberi panduan kepada ibu bapa dalam mengurus emosi serta memahami keperluan anak dengan lebih baik.