
LANGKAWI, 10 Mei – Karya berinspirasikan sawah padi di Pulau Tuba berjaya mengangkat artis muda, Norfatihah Yusof selaku pemenang Anugerah Utama Bakat Muda Sezaman edisi ke-29 (BMS 29).
- Pemenang membawa pulang RM40,000 setelah mengetepikan 15 karya lain.
- Karya dihasilkan bersama 80 orang termasuk pelajar sekolah rendah dan komuniti Pulau Tuba.
- BMS29 mengangkat pendekatan lokasi spesifik; pameran dibuka di Langkawi dan Pulau Tuba hingga 26 Julai.
Karya bertajuk “Unharvested Futures: Voices of The Field” melayakkan beliau membawa pulang wang tunai RM40,000 sekali gus mengetepikan 15 karya yang lain.
Bagi Norfatihah, 31, usaha kerasnya selama ini terbalas dengan penganugerahan tersebut.
Walaupun mengalami kemalangan beberapa hari lalu, beliau hadir berkerusi roda untuk menerima anugerah utama tersebut.
Hasil karya beliau dibantu oleh 80 orang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan komuniti di Pulau Tuba.
“Jadi saya ajak kanak-kanak tempatan untuk bayangkan bendang padi kampung mereka pada masa akan datang dan imaginasi itu tanpa had itu membuka ruang lebih luas untuk mereka sama-sama menghasilkan karya terbaik,” katanya.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff di Balai Seni Negara Cawangan Langkawi, malam tadi.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara Profesor. Madya Dr. Jalaini Abu Hassan, Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerrudin Ahmad serta pengiat seni tempatan.
Selain itu, seramai 4 artis muda juga menerima Anugerah Juri sekali gus membawa pulang RM15,000.
BMS merupakan pertandingan seni berprestij anjuran Balai Seni Negara yang telah diperkenalkan sejak tahun 1974 dan menjadi platform penting dalam mencungkil, mengiktiraf serta mengangkat bakat seniman muda kontemporari Malaysia.
BMS29 tampil dengan pendekatan “lokasi spesifik”dengan Langkawi dipilih sebagai latar utama pengkaryaan.
Hasil karya mereka kini dibuka untuk tatapan umum di sekitar Pulau Langkawi dan Pulau Tuba hingga 26 Julai depan.