
MIRI, 16 April – Peranan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebagai barisan hadapan dalam pengurusan bencana perlu terus diperkasa, termasuk menaik taraf pusat operasi terutama di kawasan berisiko tinggi.
- Komitmen sukarelawan APM membuktikan kesungguhan memastikan keselamatan rakyat di semua lokasi, termasuk kawasan pedalaman.
- Pusat operasi sedia ada perlu dinaik taraf, khususnya Pusat Operasi Sibu, agar mencerminkan imej dan peranan APM.
- Memperluas program kesedaran dan latihan kepada komuniti berisiko membolehkan tindakan awal sebelum ketibaan penyelamat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, pendekatan APM yang mengutamakan keselamatan setiap individu tanpa mengira lokasi, termasuk di kawasan pedalaman, wajar dipuji dan dijadikan inspirasi.
Menurut beliau, komitmen APM yang majoritinya terdiri daripada sukarelawan membuktikan kesungguhan pasukan itu dalam memastikan keselamatan rakyat sentiasa terpelihara.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak yang banyak membantu terutama dari sudut bangunan dan tanah. Pada masa sama, kita perlu menaik taraf kemudahan sedia ada supaya mencerminkan imej serta peranan APM.
“Secara spesifik, pihak pengurusan memohon agar Pusat Operasi Sibu dapat dipertimbangkan untuk dinaik taraf memandangkan kawasan itu antara yang kerap dilanda bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan ke Pusat Kawalan Operasi Daerah Miri APM, hari ini.
Tambah Datuk Mustapha, APM memainkan peranan penting dalam menguruskan pelbagai bencana termasuk banjir, kebakaran dan kecemasan lain yang memberi impak langsung kepada masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan memperluaskan program kesedaran dan latihan kepada komuniti, khususnya di kawasan berisiko, bagi membolehkan penduduk mengambil tindakan awal sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Dalam masa sama, beliau menegaskan APM bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah berperanan membina masa depan negara kerana setiap individu yang diselamatkan berpotensi menjadi aset penting kepada negeri dan negara.
Turut hadir Pengarah Pertahanan Awam Negeri Sarawak, TPj. (PA) Mohtar Samat; Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Ahmad Nazib Johari; serta Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri, Mejar (PA) Bonnie Madisun.