Saluran maklumat urusan haji diperkukuh

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 16 April — Kementerian Komunikasi akan mengadakan perbincangan teknikal dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan bagi memastikan saluran penyampaian maklumat berkaitan urusan haji dapat diselaras dengan lebih berkesan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Maklumat dari Tabung Haji perlu disalurkan segera untuk menangani isu.
  • Kerajaan faham kebimbangan susulan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik Israel, Amerika Syarikat dan Iran.
  • Dr Zulkifli memaklumkan kepada Jemaah Menteri keadaan masih selamat untuk jemaah Malaysia menunaikan haji.
  • Bakal jemaah disarankan menghubungi Tabung Haji untuk maklumat dan panduan lanjut.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu penting supaya sebarang maklumat, khususnya yang disampaikan oleh pihak Tabung Haji (TH) dapat disalurkan segera bagi menangani sebarang isu yang mungkin timbul.

“Saya akan lakukan perbincangan teknikal dengan Menteri Agama untuk memastikan saluran maklumat mengenai pasukan yang dari TH contohnya maklumat yang ingin disampaikan untuk mengatasi apa-apa isu yang mungkin timbul itu dapat disalurkan segera,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi 2026 di sini.

Menurut beliau, kerajaan memahami kebimbangan sesetengah pihak susulan ketidaktentuan situasi geopolitik semasa, termasuk konflik melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran.

Bagaimanapun, katanya, Dr. Zulkifli telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa keadaan ketika ini masih selamat untuk jemaah Malaysia menunaikan ibadah haji.

Dalam pada itu, Datuk Fahmi menyarankan mana-mana bakal jemaah yang mempunyai sebarang kebimbangan atau memerlukan penjelasan lanjut agar berhubung terus dengan TH bagi mendapatkan maklumat dan panduan sewajarnya.