
SHAH ALAM, 16 April – Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM130.42 juta bagi melaksanakan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa Satu susulan kesan krisis tenaga global akibat ketegangan di Asia Barat.
- Fokus pakej: kurangkan kos sara hidup, kawal inflasi dan perkukuh keterjaminan makanan.
- Peruntukan RM50 juta untuk Gudang Makanan memastikan bekalan makanan asas kekal stabil di pasaran.
- Baucar Kita Selangor RM100 sebulan selama enam bulan kepada 50,000 penerima, serta subsidi pengangkutan RM30 sebulan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pakej fasa pertama yang dijadual bermula Jun itu memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kos sara hidup, mengawal inflasi serta memperkukuh keterjaminan makanan.
Menurut beliau, antara inisiatif utama yang dimuktamadkan termasuk peruntukan RM10 juta bagi program Jelajah Ehsan Rahmah yang dijangka memanfaatkan kira-kira 168,000 isi rumah.
Selain itu, sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Gudang Makanan Selangor bagi memastikan bekalan makanan asas kekal stabil di pasaran.
“Kerajaan negeri turut memperkenalkan Baucar Kita Selangor bernilai RM100 sebulan selama enam bulan kepada 50,000 penerima, membabitkan peruntukan RM30 juta.
“Di samping itu, bantuan RM30 sebulan bagi penggunaan pengangkutan awam juga disediakan bagi meringankan beban rakyat,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Amirudin berkata inisiatif sarapan percuma di 873 sekolah akan dilaksanakan bermula Ogos ini sebagai sebahagian usaha membantu meringankan kos sara hidup keluarga.
Tambah beliau, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan kepada pesawah, nelayan, petani serta peniaga kecil bagi menampung peningkatan kos operasi susulan keadaan ekonomi semasa.