CIMB, DBKL perkasa pembangunan ekonomi Kuala Lumpur

Hannah Yeoh (dua kiri) hadir menyaksikan upacara pemeteraian MoC antara CIMB Band Berhad dan DBKL hari ini

KUALA LUMPUR, 16 April- CIMB Bank Berhad memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melibatkan komitmen berjumlah RM5 juta bagi tempoh tiga tahun untuk menyokong pelaksanaan pembangunan ekonomi dan komuniti di ibu negara di bawah inisiatif “Moving KL Forward – Kita Bagi Jadi”.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menggalakkan pengadaptasian digital dalam kalangan PMKS dengan insentif seperti pulangan tunai dan rebat.
  • Memperkasakan ekonomi kreatif melalui penganjuran acara kebudayaan dan seni.
  • Kerjasama awam-swasta berpotensi menjana peluang ekonomi menerusi pertumbuhan inklusif dan pembangunan bandar mampan.
  • Pelaksanaan program dan inisiatif sokong pembangunan ekonomi setempat serta kukuhkan ekosistem perniagaan Kuala Lumpur.

Kerjasama itu memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan pengadaptasian digital dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk melalui tawaran insentif seperti pulangan tunai dan rebat, selain memperkasa aktiviti ekonomi kreatif menerusi penganjuran acara kebudayaan dan seni.

Upacara pemeteraian telah diwakilkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin dan disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh serta Pengerusi CIMB Bank Datuk Syed Zaid Albar.

Menurut Hannah Yeoh, kerjasama antara sektor awam dan swasta berpotensi menjana peluang ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya melalui pendekatan pertumbuhan inklusif serta pembangunan bandar yang mampan.

“Saya percaya dengan komitmen ini dan berharap ia menjadi asas untuk memperluas kerjasama antara DBKL dan pihak berkaitan pada masa hadapan,” katanya melalui satu sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Fadlun berkata DBKL mengalu-alukan kerjasama tersebut yang dilihat mampu membuka lebih banyak peluang kepada usahawan dan bakat tempatan untuk berkembang, di samping meningkatkan kesejahteraan penduduk bandar.

Kerjasama berkenaan turut meliputi pelaksanaan beberapa program dan inisiatif yang dijangka menyokong pembangunan ekonomi setempat serta memperkukuh ekosistem perniagaan di Kuala Lumpur.