Kerajaan teliti perluasan AKPS ke Sarawak perkukuh kawalan sempadan

FOTO HIASAN / BERNAMA

DARO, 16 April – Kerajaan sedang meneliti cadangan peluasan program Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) ke Sarawak sebagai langkah memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memanfaatkan pengalaman dan latihan veteran ATM untuk memperkukuh operasi keselamatan di kawasan sempadan dan pintu masuk utama.
  • Fasa pertama AKPS di Semenanjung ambil 48 veteran; lebih 130 dinilai, kerajaan mensasarkan peningkatan ambilan sehingga 200 veteran.
  • Kerjasama KDN dan Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran memperkukuh penguatkuasaan di KLIA dan kawasan sempadan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, usaha itu selaras dengan hasrat memanfaatkan pengalaman serta kepakaran veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam membantu operasi keselamatan, khususnya di kawasan sempadan dan pintu masuk utama.

Menurut beliau, peluasan ke Sarawak dijangka dapat meningkatkan kapasiti tenaga kerja keselamatan sedia ada, di samping memastikan peranan veteran terus relevan dalam sektor keselamatan awam.

“AKPS kebanyakannya menjaga pintu masuk negara dan kita berharap di Sarawak juga ia dapat dimanfaatkan. Kita akan pastikan anggota veteran dapat memenuhi keperluan AKPS kerana mereka sudah mempunyai latihan yang bersesuaian,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan memulakan fasa pertama pelaksanaan AKPS di Semenanjung dengan pengambilan 48 veteran dan kini dalam proses penilaian bagi pengambilan seterusnya yang turut melibatkan Sabah dan Sarawak.

Inisiatif berkenaan dilihat sebagai langkah strategik berterusan dalam memperkukuh sistem kawalan sempadan negara secara lebih menyeluruh.

Kerjasama antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran turut diperkukuh bagi memanfaatkan kepakaran bekas anggota tentera dalam penguatkuasaan keselamatan negara, khususnya di pintu masuk utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta kawasan sempadan.

Sehingga kini, lebih 130 veteran telah melalui proses penilaian, namun hanya 48 dipilih dalam fasa awal pelaksanaan program tersebut.

Kerajaan turut menyasarkan peningkatan pengambilan sehingga 200 veteran bagi memenuhi keperluan tenaga kerja AKPS di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meneruskan siri Jelajah Program Peduli Veteran MADANI (PVM) 2026 di daerah Daro dan Matu.