
PUTRAJAYA, 16 April – Hubungan Australia-Malaysia terus diperkukuh menerusi kerjasama dua hala mengenai keselamatan tenaga.
- Perjanjian menjamin bekalan bahan keperluan termasuk makanan dan tenaga agar tidak terjejas akibat konflik global.
- Australia dan Malaysia saling bergantung pada bahan api serta urea, menyokong keselamatan makanan kedua-dua negara.
- Kedua negara bersetuju meningkatkan koordinasi tindak balas krisis untuk menjamin kesinambungan perdagangan tenaga dan melindungi rakyat.
- Sepakat memperkukuh perdagangan daging merah dan halal, tingkatkan eksport Australia, sokong keselamatan makanan Malaysia serta peluang pekerjaan.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, perjanjian tersebut merupakan komitmen kedua-dua pihak bagi memastikan bekalan barangan keperluan, termasuk makanan dan tenaga tidak terjejas.
“Kita saling bergantung antara satu sama lain untuk bahan api, termasuk petroleum mentah serta gas asli, dan urea dari Malaysia membantu Australia menanam tanaman seperti gandum yang dibekalkan di sini, sekali gus menyumbang kepada keselamatan makanan Malaysia.
“Sebagai rakan strategik komprehensif, Australia dan Malaysia bekerjasama untuk membuat persediaan serta melindungi rakyat daripada kesan terburuk konflik global ini,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.
Menurut Albanese, kedua-dua negara juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam menyelaras tindak balas terhadap krisis global semasa, sekali gus menjamin kesinambungan perdagangan tenaga.
Susulan konflik Asia Barat, keutamaan Australia sama seperti Malaysia, iaitu meredakan ketegangan.
Beliau berharap gencatan senjata dapat dipatuhi, rundingan diteruskan dan konflik dapat diselesaikan dengan segera.
Selain dalam keselamatan tenaga, kedua-dua negara turut mencapai persetujuan dalam kerjasama pemprosesan dan perdagangan daging merah.
Albanese optimis, inisiatif ini dapat menyokong perdagangan daging halal secara dua hala.
“Meningkatkan eksport daging merah Australia serta menyokong keselamatan makanan Malaysia, di samping mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di ladang dan kemudahan pemprosesan di Australia. Kami juga membincangkan cara memperkukuh hubungan perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua negara, termasuk melalui INVESTED, iaitu strategi ekonomi Australia bagi Asia Tenggara hingga tahun 2040,” katanya.