fb fb fb fb fb

APM sedia agih anggota di 20 PPS tambahan di Kelantan

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) APM, Datuk Ismail Mohd Zawawi / Foto RTM

KOTA BHARU, 31 Oktober - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedia mengagihkan anggotanya bagi penugasan di 20 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tambahan yang akan dibuka ketika musim banjir di Kelantan.
 
Penambahan 20 PPS yang diputuskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) baru-baru ini, menjadikan keseluruhan 459 PPS akan dibuka sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir luar jangka.
 
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) APM, Datuk Ismail Mohd Zawawi, pihaknya tidak berdepan masalah besar untuk melakukan pengagihan anggota kerana turut dibantu anggota sukarela.

"Kita banyak bergantung kepada bantuan anggota sukarela. Kitakan ada kouta tertentu sebab kita telah diberi bajet tertentu oleh kerajaan. (Jadi) akan lihat baliklah dari segi pengagihan anggota. So, saya ingat Insya-Allah kita tak ada isu pun," kata beliau selepas Majlis Temu Media di Kota Bharu.
 
Setiap tahun, APM menerima kira-kira RM140 juta bagi bayaran Elaun Khidmat Kontrak (EKK) untuk anggota sukarela, dan agihan penugasan di PPS akan ditentukan mengikut kebijaksanaan pengarah negeri.
 
Sementara itu, Datuk Ismail memaklumkan, APM memperoleh kelulusan tambahan 80 kenderaan sewaan tahun ini sebagai persediaan menghadapi musim bencana termasuk banjir.
 
Sebahagian besar perolehan itu melibatkan ambulans dan kenderaan pacuan empat roda.
 
"Ambulans kita dah dapat penuh 30 unit. 4x4 kita telah hantar ke Sabah 15 unit, manakala Sarawak sedang dihantar, selebihnya kita akan agihkan dalam masa terdekat," katanya.

Penambahan itu penting bagi memperkukuh keupayaan logistik agensi berkenaan, khususnya ketika operasi menyelamat.
 

EMMI NORALIZA ADNAN