BANGI, 11 Januari- Angkatan Pertahanan Awam (APM) menyasarkan 10,000 penjawat awam untuk menyertai Pasukan Sukarelawan Penjawat Awam (PSPA) tahun ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Abdul Wahab Rahim, sejumlah 2,000 penyertaan telah diterima pihaknya, setakat ini.
Kesemua mereka juga telah selesai mengikuti Kursus Asas Sukarelawan Penjawat Awam di bawah seliaan APM.
"Insya-Allah, kalau keadaan memerlukan (akan) ada lagi pertambahan pasukan PSPA ini dan juga pasukan sokongan lain.
"(Ia) untuk digerakkan sama ada ketika respon iaitu menguruskan pusat-pusat pemindahan atau di PASKA (Pasukan Khas Pertahanan Awam), kerja-kerja pembersihan dan kerja-kerja teknikal yang diperlukan mengikut kemahiran dan kepakaran pasukan-pasukan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
PSPA merupakan pasukan yang disertai penjawat awam mewakili kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di seluruh negara.
Pada Mac lepas, mesyuarat pasca Kabinet Jabatan Perdana Menteri memutuskan supaya PSPA digerakkan semula bagi pengurusan pasca banjir di kawasan terjejas akibat bencana.
Penjawat awam yang menyertai PSPA dianggap menjalankan tugas rasmi dan layak menerima elaun serta kemudahan yang berkelayakan.