Agong tunai solat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara hari ini. Turut bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

KUALA LUMPUR , 21 Mac – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketibaan diiringi Perdana Menteri, isteri dan Jemaah Menteri.
  • Solat diimamkan Pegawai Agama Istana Negara Datuk Munir Md Salleh; beliau turut membaca Khutbah Aidilfitri.
  • Khutbah bertajuk "Syawal Bangkit Dari Ujian, Bersatu Dalam Keimanan" menyeru umat Islam kekal istiqamah.
  • Usai solat Baginda berkenan bersalaman dengan jemaah sebelum berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah pada 8.15 pagi diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Jemaah Menteri.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail,

Selain itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan serta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Solat sunat Aidilfitri berkenaan diimamkan oleh Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh yang turut sama membaca Khutbah Aidilfitri bertajuk “Syawal Bangkit Dari Ujian, Bersatu Dalam Keimanan” yang antaranya menyeru umat islam mengekalkan istiqamah dalam beribadah.

Takwa yang hakiki bukan sekadar amalan bermusim, sebaliknya lahir daripada kesungguhan menyembah Allah pada setiap masa tanpa mengira waktu dan keadaan.

Khutbah berkenaan juga turut mengingatkan sambutan Aidilfitri harus menjadi medan penyucian jiwa dengan membuang ego untuk memulihkan silaturahim yang tulus.

Pada masa sama ia turut menekankan kesederhanaan berbanding kemegahan material kerana kemenangan sejati ialah kemuliaan iman yang diredai Allah.

Usai solat Baginda berkenan bersalaman dengan jemaah daripada pelbagai latar belakang yang hadir ke masjid berkenaan sebelum berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri Dewan Santapan Utama.