
KUALA KANGSAR, 21 Mac – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 1,000 jemaah di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar dalam suasana penuh harmoni dan kesyukuran.
- Keberangkatan Baginda diiringi Raja Muda Perak, Raja Jaafar dan Raja Dihilir Raja Iskandar, disambut Menteri Besar serta barisan Exco dan kenamaan.
- Solat diimamkan oleh Imam Masjid Muhammad Alif Fatihin Baharum, khutbah menyeru agar tidak memusnahkan keamanan demi kebaikan anak cucu.
- Selepas solat, Baginda beramah mesra dengan jemaah dan menziarahi pusara Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah di Makam Diraja.
- Beberapa Sultan negeri lain turut menunaikan solat Aidilfitri, termasuk Sultan Kedah, Sultan Selangor dan Tun Ramli Ngah Talib di Pulau Pinang.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Keberangkatan Baginda di masjid berkenaan kira-kira pukul 8.30 pagi disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, barisan Exco Kerajaan Negeri dan beberapa kenamaan lain.
Seawal pagi, orang ramai mula memenuhi perkarangan masjid bagi bersama-sama menunaikan solat sunat Aidilfitri yang menjadi simbol kemenangan selepas sebulan menunaikan ibadah puasa Ramadan.
Solat sunat Aidilfitri diimamkan oleh Imam Masjid berkenaan, Muhammad Alif Fatihin Baharum sebelum disusuli khutbah yang menekankan masyarakat agar jangan memusnahkan suasana aman yang dinikmati negara demi kebaikan anak cucu masa hadapan.
Selesai menunaikan solat, Baginda berkenan beramah mesra bersama jemaah yang hadir, sekali gus mencerminkan keakraban institusi diraja bersama rakyat.
Baginda kemudiannya menziarahi pusara ayahanda Baginda, Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah di Makam Diraja masjid berkenaan bagi menzahirkan penghormatan.
Sementara itu, di Alor Setar Kedah, Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan berangkat menunaikan solat sunat hari raya Aidilfitri di Masjid Zahir, pagi tadi.
Keberangkatan tiba Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin disambut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali.
Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohammad Ariff.
Berangkat sama, Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff; serta Kerabat Diraja Baginda.
Solat sunat dan khutbah hari raya Aidilfitri dipimpin dan disampaikan oleh Imam Besar Masjid Zahir, Syeikh Mohd Naim Ahmad.
Selesai solat Baginda dan Kerabat Diraja yang lain berkenan beramah mesra bersama jemaah dan menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir sebelum berangkat pulang.
Manakala di Selangor, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 15,000 jemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja
Muda Selangor, Tengku Amir Shah bersama isteri, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini.
Solat sunat Aidilfitri dipimpin Imam Besar Masjid Negeri, Datuk Muhammad Farhan Wijaya.
Baginda turut berkenan mendengar khutbah disampaikan Mufti Selangor, Datuk Setia Dr Anhar Opir bertajuk Syawal Permulaan Baharu.
Khutbah tersebut menegaskan Syawal sebagai simbol kemenangan selepas Ramadan yang mendidik umat Islam menjadi lebih sabar, berdisiplin dan taat kepada Allah SWT, selain menyeru umat Islam membesarkan Allah serta mensyukuri nikmat iman dan Islam.
Baginda kemudian berkenan bersalaman bersama para jemaah di masjid berkenaan.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin serta Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Senator Datuk Setia Salehuddin Saidin.
Dalam pada itu, di Pulau Pinang, hampir 5000 jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al Bukhary di Sungai Pinang, George Town.
Solat sunat berkenaan disertai Yang DiPertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib dan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Solat sunat di Masjid Al Bukhary dipimpin oleh Mohamad Zaki Ibrahim, Imam Besar Masjid Negeri dengan khutbah bertajuk ‘Aidilfitri Yang Dinanti, Redha Ilahi yang Dicari’. Selesai khutbah, Tun Ramli Ngah Talib bersalaman dengan para jemaah.