
TEHRAN, 5 Oktober -Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan tiada penyelesaian ketenteraan bagi menamatkan perang antara Iran dan Amerika Syarikat, ketika rundingan untuk menamatkan konflik itu dilaporkan menemui jalan buntu.
- Iran ancam tindak balas lebih kuat terhadap sebarang tindakan ketenteraan baharu, menegaskan akan mempertahankan diri sepenuhnya.
- Rundingan berasaskan keadilan dan kesaksamaan diperlukan untuk menamatkan konflik, bukan tindakan ketenteraan atau sekatan ekonomi baharu.
- Washington mengurangkan operasi ketenteraan dan menjadikan tekanan ekonomi sebagai strategi terhadap Tehran.
- Tehran kemukakan tujuh syarat buka semula Selat Hormuz termasuk gencatan senjata, pembebasan aset beku dan penarikan sekatan tentera laut AS.
Beliau berkata, sebarang tindakan ketenteraan baharu oleh musuh akan dibalas dengan tindak balas lebih kuat, selain menegaskan Iran akan mempertahankan diri dengan segala kekuatan.
Berucap pada pertemuan bersama duta-duta asing, Araghchi menegaskan hanya rundingan berasaskan keadilan dan kesaksamaan mampu menamatkan konflik, bukannya tindakan ketenteraan atau sekatan ekonomi baharu.
Kempen serangan udara besar-besaran sebelum ini gagal menamatkan perang yang dilancarkan Amerika Syarikat dan Israel pada akhir Februari lalu.
Washington sejak beberapa minggu kebelakangan ini mengurangkan operasi ketenteraan dan beralih kepada tekanan ekonomi terhadap Tehran.
Isu utama yang masih menjadi pertikaian ialah tindakan Iran menyekat Selat Hormuz, laluan penting penghantaran minyak dan gas dari rantau Teluk.
Dalam perkembangan berkaitan, agensi keselamatan maritim Britain, UKMTO melaporkan sebuah kapal tangki di Selat Hormuz terkena objek tidak dikenal pasti sehingga menyebabkan kerosakan pada bilik enjinnya.
Bagaimanapun, semua kru dilaporkan selamat dan tiada kesan pencemaran alam sekitar direkodkan.
UKMTO tidak mendedahkan tarikh kejadian, negara asal atau destinasi kapal berkenaan.
Sementara itu, pegawai Iran dan Amerika Syarikat mengadakan rundingan tidak langsung di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu.
Tehran mendakwa mengemukakan tujuh syarat bagi membuka semula Selat Hormuz, termasuk gencatan senjata di seluruh Asia Barat, pembebasan aset Iran yang dibekukan di luar negara, penarikan sekatan terhadap sektor minyak serta penamatan sekatan tentera laut Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, Presiden Donald Trump menolak cadangan itu, namun masih membuka ruang kepada rundingan lanjut atau kemungkinan operasi ketenteraan disambung semula. – AFP