500 murid SJKT diberi pendedahan awal risiko jenayah sosial

Ketua Briged MIC Kebangsaan, Andrew David

KUALA LUMPUR, 29 April – Seramai 500 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) diberi pendedahan mengenai risiko jenayah sosial menerusi Forum Generasi Anti Jenayah Siri 1 peringkat Kuala Lumpur sebagai persediaan ke alam sekolah menengah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Forum menekankan intervensi awal untuk murid Tahun Enam sebelum melangkah ke sekolah menengah.
  • Memberi pendedahan tentang isu sosial dan saluran mendapatkan bantuan termasuk sokongan kesihatan mental.
  • Turut dihadiri agensi keselamatan dan kesihatan serta pemimpin seperti Timbalan Ketua Polis dan Presiden MIC.
  • Pelajar melaporkan impak positif: lebih sedar keselamatan diri, langkah elak buli, dan berkongsi maklumat dengan rakan.

Program yang melibatkan 15 SJKT di sekitar ibu negara itu turut menghimpunkan 50 guru serta 15 guru besar dalam usaha memperkukuh kesedaran terhadap cabaran sosial dalam kalangan murid.

Ketua Briged MIC Kebangsaan, Andrew David, berkata forum ini memberi penekanan kepada kepentingan intervensi awal dalam kalangan murid Tahun Enam sebelum melangkah ke alam sekolah menengah yang lebih mencabar.

Ia bagi memberi pendedahan secara menyeluruh kepada pelajar tentang isu sosial serta saluran mendapatkan bantuan.

“Program seperti ini sangat penting untuk murid-murid darjah 6 yang akan melangkah ke alam remaja di sekolah menengah. Jika mereka terlibat dalam gejala sosial, fokus terhadap pelajaran akan terganggu dan mereka mudah terjebak dengan pelbagai masalah.

“Jadi, kita mahu mereka kekal fokus dalam pelajaran serta tahu ke mana perlu mendapatkan bantuan apabila berdepan masalah, termasuk isu kesihatan mental. Melalui forum seperti ini juga, mereka dididik untuk membezakan perkara baik dan berani mengatakan tidak kepada perkara yang negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Forum Generasi Anti Jenayah Siri 1 peringkat Kuala Lumpur di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashimi, PULAPOL Kuala Lumpur.

Program berkenaan turut menghimpunkan pelbagai agensi berkaitan termasuk pihak keselamatan dan kesihatan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohd Azani bin Omar, Presiden MIC merangkap Pengerusi Maju Institute of Educational Development (MIED), SA Vigneswaran serta Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Ravindar Singh Sarban Singh.

Dalam pada itu, pelajar yang ditemui menyifatkan program berkenaan memberi impak positif terutama dalam aspek keselamatan diri dan kesedaran terhadap jenayah buli.

“Kalau kawan kena buli, saya akan laporkan kepada cikgu dan nasihatkan dia supaya tidak stres. Buli sangat teruk dan sebagai murid kita tidak boleh buat seperti itu,” kata Pelajar Darjah 6, SJKT Fletcher Krisnavaraman A/L Saravanan Naidu.

Seorang lagi pelajar turut berkongsi bahawa forum tersebut membantu meningkatkan pemahaman mengenai langkah melindungi diri.

“Program ini banyak memberi pendedahan kepada saya untuk melindungi diri daripada jenayah buli. Saya juga akan berkongsi dengan kawan-kawan tentang langkah-langkah untuk elak menjadi mangsa,” Pelajar Darjah 6, SJKT  Vivekananda. kata Suruthii Ssri A/P Malaiyaman.

Program seumpama ini dilihat mampu membentuk kesedaran awal dalam kalangan pelajar sekali gus membantu mereka membuat pilihan yang lebih baik apabila berdepan cabaran di peringkat sekolah menengah kelak.