Segera bawa pulang DAK, tempatkan di Kuala Gandah – Wan Rosdy

Foto Facebook Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

TEMERLOH, 29 April – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menggesa agar segera membawa pulang tiga ekor gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) ke tanah air susulan haiwan berkenaan kini ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun.

Beliau menerusi hantaran Facebooknya memaklumkan, ketiga-tiga mamalia berkenaan boleh ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Temerloh yang lebih sesuai dengan habitat dan keperluan semula jadi haiwan itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gesaan memindahkan gajah ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah sebagai habitat dan penjagaan lebih sesuai.
  • Kuala Gandah mempunyai kepakaran, ruang pergerakan, interaksi sosial dan kesejahteraan psikologi haiwan.
  • Menggesa Zoo Taiping & Night Safari serta pihak berkaitan bertindak, dan semua pihak bertanggungjawab memelihara khazanah negara.

“Sehubungan itu, saya juga turut menggesa pihak Zoo Taiping & Night Safari untuk segera mengambil tindakan membawa pulang Dara, Amoi dan Kelat ke Malaysia.

“Kuala Gandah mempunyai kepakaran serta persekitaran yang lebih kondusif untuk pemuliharaan dan penjagaan gajah, khususnya dari segi interaksi sosial, ruang pergerakan dan kesejahteraan psikologi haiwan,” menurut kenyataan itu.

Tindakan berkenaan juga sebagai usaha menyokong gesaan daripada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup serta pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) mengenai keadaan mamalia itu di negara itu.

Dalam pada itu, Datuk Seri Wan Rosdy mahu semua pihak bertanggungjawab memastikan khazanah negara terus terpelihara.

Berhubung dengan penempatan Dara, Amoi dan Kelat (DAK) dalam isu tersebut dilihat lebih sesuai ketiga-tiga mamalia berkenaan kembali ke habitat asal iaitu di Malaysia.