KPT kesan lapan pelajar terjejas kebakaran di Sandakan, salur bantuan

Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir/ BERNAMA

GEORGE TOWN, 29 April – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengenal pasti lapan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terjejas akibat kebakaran besar di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah pada 19 April lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPT melalui Yayasan Perkasa Siswa segera menjejaki pelajar terjejas selepas menerima laporan kejadian.
  • Kementerian memutuskan memberi bantuan untuk meringankan beban agar pelajar dapat meneruskan pengajian di IPT.
  • Bantuan segera disalurkan, termasuk RM3,000 kepada seorang pelajar tahun pertama USM; kebakaran memusnahkan kira-kira 1,000 rumah atas air.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kementerian itu melalui Yayasan Perkasa Siswa telah mengambil tindakan segera sebaik menerima laporan kejadian itu bagi menjejaki pelajar-pelajar terlibat.

“Bagi memastikan sama ada terdapat pelajar kita yang belajar di mana-mana universiti terlibat, pihak Yayasan Perkasa Siswa telah menjalankan penelitian. Setakat ini, kita mengenal pasti seramai lapan orang pelajar dari kawasan berkenaan.

“Sehubungan itu, kita telah memutuskan untuk membantu meringankan beban mereka, khususnya bagi memastikan mereka dapat meneruskan pengajian di institusi pendidikan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Forum Pendidikan Malaysia-Turkiye 2026: The Shared Purpose: Building Empathetic World Through Education di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Bantuan segera disalurkan bagi meringankan beban pelajar terlibat, termasuk seorang pelajar tahun pertama USM Sitti Farhana Nasib, 21, yang menerima bantuan RM3,000.

Kejadian 19 April lepas memusnahkan kira-kira 1,000 rumah atas air akibat kebakaran di Kampung Bahagia, selain menyebabkan ribuan penduduk terjejas.