
SHAH ALAM, 29 April- Sebanyak 50,175 unit Rumah Idaman telah dan akan disediakan untuk rakyat Selangor setakat Mac 2026.
- 7,702 unit telah siap, lebih 14,000 dalam pembinaan, hampir 28,000 dalam perancangan.
- Kelulusan pinjaman bergantung kepada penilaian institusi kewangan berdasarkan kemampuan pemohon.
- LPHS sediakan Skim Smart Sewa hingga lima tahun dan modul Rumahku dengan kaunseling kewangan serta nasihat percuma.
Exco Perumahan negeri, Datuk Borhan Aman Shah berkata daripada jumlah itu, 7,702 unit telah siap dibina, manakala lebih 14,000 unit sedang dalam pembinaan dan hampir 28,000 unit lagi dalam perancangan.
“Proses kelulusan pinjaman perumahan masih bergantung kepada penilaian institusi kewangan berdasarkan kemampuan pemohon,” katanya di Sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Bagi membantu mereka yang tidak layak mendapatkan pinjaman, kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menyediakan inisiatif Skim Smart Sewa (SSS).
Menerusi skim itu, penyewa diberi tempoh sehingga lima tahun untuk menyewa sambil mengukuhkan kedudukan kewangan sebelum membeli rumah.
LPHS turut bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi menyediakan modul pendidikan kewangan dikenali sebagai Rumahku.
Inisiatif itu membantu bakal pembeli merancang kewangan selain menawarkan khidmat nasihat percuma termasuk penstrukturan semula pinjaman bagi meningkatkan peluang memiliki kediaman.