
KUALA LUMPUR, 15 Jun – Seramai lima kakitangan Penjara Taiping berdepan prosiding tindakan tatatertib manakala seorang anggota penjara pula didakwa di mahkamah susulan insiden di penjara itu pada Januari tahun lalu.
- Jabatan Penjara memberikan kerjasama penuh kepada PDRM untuk siasatan bebas, telus dan menyeluruh.
- Dasar toleransi sifar terhadap salah laku dan penyalahgunaan kuasa; tindakan diambil tanpa mengira pangkat atau jawatan.
- Laporan media: lebih 100 tahanan diserang kira-kira 60 warden semasa pemindahan; seorang tahanan, Gan Chin Eng, maut.
Jabatan Penjara dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas, telus dan menyeluruh.
“Tindakan tersebut mencerminkan pendirian tegas jabatan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang atau peraturan perkhidmatan tanpa mengira pangkat dan jawatan.
“Jabatan mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran undang-undang dalam perkhidmatan. Setiap aduan atau dakwaan yang diterima akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan yang didapati melakukan kesalahan,” menurut kenyataan itu.
Media sebelum ini melaporkan lebih 100 tahanan di penjara berkenaan diserang kira-kira 60 warden ketika proses pemindahan dari Dewan B ke Blok E pada Januari tahun lalu.
Seorang tahanan, Gan Chin Eng maut dalam insiden terbabit.
Sementara itu, mengulas pengurusan institusi penjara, jabatan tersebut menegaskan keselamatan, kebajikan dan pengurusan prospek sentiasa dilaksanakan berlandaskan Akta Penjara 1995 (Akta 537) dan Peraturan-Peraturan Penjara 2000.
Pelaksanaan itu bagi memastikan operasi dijalankan secara profesional, berintegriti dan berperikemanusiaan.