Orang ramai sambut baik pemansuhan caj RM1 pengeluaran wang di mesin ATM, SRM

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Orang ramai menyambut baik pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran wang tunai antara bank di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan Mesin Kitar Semula Pintar (SRM), bermula 1 Julai ini.

Orang awam, Putera Aiman Firdaus Zaini menyifatkan iniasitif itu memberi kemudahan rakyat untuk mengakses bank tempatan tanpa mengira bank pengeluar kad.

“Bagi saya ia satu inisiatif bagus kepada rakyat sebab segelintir individu terpaksa ke lokasi bank lain untuk keluarkan duit,” katanya kepada RTM.

Manakala, peniaga Muhammad Firdaus berkata, langkah tersebut dapat memberi penjimatan serta mengurangkan beban rakyat bagi menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Selepas ini memang senang. Sebelum ini kita nak keluarkan duit pun ada had. Satu hari kita keluar RM400. Lepas tu tak cukup, kita kena pergi balik ke mesin. Dah tolak RM1.

“Kalau satu hari RM3 ke RM4, kalau sebulan dah berapa kan. Jadi memang baguslah inisiatif ini kepada peniaga,” ujarnya.

Sementara itu, seorang warga emas, Akmam Abdul Hamid meluahkan rasa syukur kerana kini lebih mudah untuk mengeluarkan wang tunai bagi kegunaan harian, memandangkan beliau tidak mahir menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai.

“Saya banyak guna tunai. Alhamdulillah, syukur. Itu satu kelebihan lah bagi saya sebagai warga emas ni nak keluarkan duit, lagi mudah nak guna mesin ATM selepas ini,” katanya.

Langkah pemansuhan caj itu membolehkan pemegang kad debit Malaysia mengeluarkan wang tunai secara percuma tanpa mengira bank pengeluar kad.

Industri perbankan dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif tersebut melibatkan lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara.

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.