
PUTRAJAYA, 15 JUN – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan persetujuan Amerika Syarikat (AS) dan Iran untuk menamatkan permusuhan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dijadual ditandatangani pada 19 Jun ini.
- Pembukaan semula Selat Hormuz perlu dianggap amat mendesak demi keselamatan tenaga global dan perdagangan antarabangsa.
- Semua pihak digesa bertindak dengan niat baik, bergerak tanpa berlengah dan menterjemah persefahaman kepada penyelesaian damai berkekalan.
- Malaysia menyokong usaha keamanan yang adil dan berkekalan serta menyeru masyarakat antarabangsa mengekalkan momentum diplomatik.
Beliau turut memuji usaha pihak perantara, khususnya Pakistan yang membawa kepada perkembangan positif tersebut.
Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar menegaskan pembukaan semula Selat Hormuz kepada perkapalan antarabangsa kini perlu dianggap sebagai perkara yang amat mendesak.
“Selat itu merupakan laluan penting bagi keselamatan tenaga global dan perdagangan antarabangsa.
“Gangguan berpanjangan tidak akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak,” katanya.
Perdana Menteri menggesa semua pihak bertindak dengan niat baik, bergerak tanpa berlengah dan menterjemahkan persefahaman berkenaan kepada penyelesaian damai yang berkekalan.
“Pada saat yang genting ini, semua pihak luar perlu mengelak daripada sebarang tindakan yang boleh menggagalkan diplomasi serta mencetuskan semula permusuhan,” jelasnya.
Malaysia bersedia menyokong usaha ke arah keamanan yang adil dan berkekalan, selain menyeru masyarakat antarabangsa mengekalkan momentum diplomatik berkenaan.