1,404 anggota PDRM digerakkan bersempena Thaipusam di Johor

Siaran media Ketua Polis Johor

JOHOR, 30 Januari – Seramai 1,404 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh kontinjen Johor digerakkan bagi melaksanakan penugasan di beberapa lokasi strategik bersempena perayaan Thaipusam menerusi Op Palu, yang bermula esok hingga 2 Februari depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • 1,404 anggota PDRM di Johor dikerah bagi Op Palu untuk sambutan Thaipusam mulai esok hingga 2 Februari.
  • Penugasan termasuk kawalan statik dan bergerak, kawalan lalu lintas serta rondaan pencegahan jenayah untuk keselamatan dan kelancaran.
  • 17 kuil dikenal pasti mengadakan perarakan; orang ramai dinasihat merancang perjalanan awal dan patuhi arahan pihak berkuasa.

Daripada jumlah itu, seramai 155 pegawai kanan polis dan 1,249 pegawai rendah polis terlibat dalam penugasan sepanjang operasi berkenaan.

Penugasan merangkumi kawalan statik dan bergerak, kawalan lalu lintas serta rondaan pencegahan jenayah bagi memastikan aspek keselamatan dan kelancaran pergerakan berada pada tahap terbaik sepanjang perayaan.

Menurut kenyataan Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, sambutan Thaipusam di negeri itu dijangka berlangsung secara terkawal dan selamat, khususnya dengan kehadiran pengunjung yang tinggi termasuk di rumah ibadat.

Sebanyak 17 kuil dikenal pasti akan mengadakan perarakan di seluruh Johor.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa serta merancang perjalanan lebih awal.