fb fb fb fb fb

130 anggota APM terima anugerah dan sijil penghargaan

Foto RTM

PUTRAJAYA 9 November - Seramai 130 anggota dan pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Wilayah Persekutuan menerima pelbagai anugerah dan sijil penghargaan bersempena Majlis Perhimpunan Setia APM Wilayah Persekutuan, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan sumbangan mereka dalam tugasan pertahanan awam sepanjang tahun ini.

Majlis diadakan secara berkala itu bertujuan menghargai jasa dan peranan warga APM termasuk pegawai tetap, pegawai kehormat, bersekutu serta anggota sukarela yang menjadi tulang belakang operasi agensi berkenaan.

Pengarah Pertahanan Awam Wilayah Persekutuan, Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, sejumlah 341 anggota keseluruhannya layak menerima pengiktirafan tahun ini, namun 130 penerima terpilih diraikan dalam majlis, pada Sabtu.

"Antara anugerah yang disampaikan termasuk Sijil Pujian Ketua Pesuruhjaya, Reben Perkhidmatan, serta Anugerah Adiwira Prihatin Dekad Platinum, sebagai menghargai sumbangan berterusan dalam aspek kepakaran, latihan dan nasihat teknikal," katanya.

Beliau turut menegaskan, kejayaan APM dalam melaksanakan tanggungjawab ketika bencana banyak bergantung kepada kerjasama erat antara pegawai tetap dan anggota sukarela.

“Kami tidak ramai, tetapi kekuatan kami adalah pada semangat kerjasama. Penghargaan ini sebagai tanda terima kasih atas komitmen mereka membantu melaksanakan amanah kerajaan,” jelasnya.

Kolonel Mohd Rosman turut menyasarkan APM Wilayah Persekutuan terus menjadi antara sekretariat pengurusan bencana terbaik di peringkat negeri dan daerah.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN