LONG LAMA, 15 September - Sebanyak 11 kawasan di sekitar Long Lama, Telang Usan terjejas banjir susulan fenomena air pasang besar yang bertembung dengan hujan lebat sejak 5 September lepas.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Telang Usan dalam pemantauan pagi tadi mendapati paras air meningkat antara 0.30 hingga 1.52 meter di beberapa lokasi sekitar pekan Long Lama.
Antara kawasan terjejas ialah SMK Long Lama (1.22 m), Jalan Layang-Layang (1.52 m), SK Ubong Imang (1.07 m), Waterfront Long Lama (0.30 m) dan Stesen Sarawak Energy (0.91 m).
Turut dilanda ialah Stesen Minyak Petronas (0.30 m), Pejabat JKR dan Sarawak Forestry Corporation (0.61 m), Balai Polis Long Lama (0.61 m) serta Pejabat Penerangan Long Lama (0.61 m).
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Lt. (PA) Mirwan Shah Masri berkata, skuad empat anggota diketuai Pbt. (PA) Rita Lawrence digerakkan menggunakan bot fiber bagi memantau paras air.
Katanya, setakat ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka dan keadaan masih terkawal, namun penduduk dinasihatkan segera berpindah sekiranya paras air terus meningkat.