Sindiket seleweng diesel bersubsidi tumpas, tiga lelaki ditahan

Stor penyimpanan bahan api yang diserbu KPDN Kuala Lumpur di Damansara – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Satu sindiket penyelewengan diesel bersubsidi tumpas dalam serbuan oleh pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur di sebuah stor penyimpanan di Damansara, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 9,000 liter diesel dirampas, nilai rampasan dianggarkan RM265,000.
  • Sindiket guna modus operandi berperingkat; individu berbeza atur pengambilan, pemindahan dan penghantaran bagi elak dikesan.
  • KPDN menyita lori tangki, dua lori kotak bonded, tujuh IBC, tujuh hos, paip dan dua pam diesel.
  • Tiga lelaki ditahan (seorang tempatan, dua warga Bangladesh); siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sebanyak 9,000 liter diesel dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM265,000.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur Mohd Sabri Seman mendedahkan, sindiket itu menggunakan modus operandi dengan melibatkan individu berbeza pada setiap peringkat operasi bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Sebagai contoh, individu yang mengisi minyak di stesen minyak di Sungai Besi bukanlah orang yang sama yang mengambil kenderaan tersebut. Selepas mengisi minyak, kenderaan itu ditinggalkan dengan kunci masih berada di dalamnya sebelum diambil oleh individu lain untuk dihantar ke sebuah stor bagi proses pemindahan barang.

“Seterusnya, barang berkenaan dibawa ke lokasi rahsia yang telah ditetapkan sebelum individu lain pula mengambil kenderaan itu untuk dihantar ke destinasi akhir. Pihak berkuasa percaya barangan tersebut dijual di kawasan-kawasan perindustrian.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas operasi yang dijalankan.

Dalam serbuan tersebut, KPDN menyita sebuah lori tangki, dua lori kotak (bonded), tujuh tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC), tujuh hos dan paip serta dua pam diesel.

Turut ditahan, tiga lelaki bagi membantu siasatan, membabitkan seorang warga tempatan dan dua warga Bangladesh berusia antara 30 hingga 40 tahun.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen atau permit yang sah.

Jika sabit kesalahan, pertubuhan perbadanan boleh didenda maksimum RM2 juta, manakala individu boleh didenda maksimum RM1 juta atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.