
- Virtual taekwondo akan dipertandingkan di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
- Disiplin gabungkan pergerakan fizikal atlet dengan realiti maya dan pengesanan gerakan, membolehkan perlawanan digital tanpa sentuhan fizikal.
- TM(WT) bercadang memperkenalkan virtual taekwondo selain acara kyorugi dan poomsae.
- KBS luluskan RM550,000 menerusi Geran Padanan Sukan bagi sokongan kejohanan dan pembangunan bakat 2026.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata virtual taekwondo, yang dipertandingkan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, menawarkan peluang kepada negara untuk meneroka potensi dalam disiplin yang masih baharu di pentas pertandingan antarabangsa.
“Virtual taekwondo, yang sudah dipertandingkan di Sukan Asia Aichi-Nagoya, membuka peluang baharu kerana disiplin ini belum didominasi oleh mana-mana negara. Besar harapan saya agar TM(WT) memberi tumpuan serius ke arah ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi TM(WT) yang diketuai presidennya, Azizul Annuar Adenan, semalam.
Menurut Dr Mohammed Taufiq, pertemuan itu turut membincangkan hala tuju persatuan berkenaan bagi penggal 2026 hingga 2030, termasuk pembangunan para taekwondo dan pegawai teknikal, penganjuran acara antarabangsa di Malaysia serta persiapan menghadapi Sukan SEA Malaysia 2027.
Virtual taekwondo menggabungkan pergerakan fizikal atlet dengan teknologi realiti maya dan pengesanan gerakan, membolehkan dua peserta bertanding dalam persekitaran digital tanpa sentuhan fizikal secara langsung.
TM(WT) sebelum ini menyatakan hasrat memperkenalkan disiplin itu pada Sukan SEA 2027, selain acara kyorugi dan poomsae. Pengarah Teknikalnya, R. Dhanaraj, pada Februari lepas berkata persatuan itu berharap dapat meraih sekurang-kurangnya satu atau dua pingat emas menerusi tiga acara berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan pembangunan sukan itu, Dr Mohammed Taufiq berkata KBS meluluskan RM550,000 menerusi Geran Padanan Sukan (GPS) kepada komuniti taekwondo sepanjang 2026.
Peruntukan itu termasuk sokongan kepada Kejohanan Taekwondo Remaja Kebangsaan dan Kejohanan Interclub TM(WT) sebagai platform mencungkil bakat baharu.
Taekwondo mempunyai kira-kira 391,000 peserta berdaftar di seluruh negara melalui 13 persatuan gabungan negeri. Sukan itu juga merupakan sukan wajib Sukan Malaysia (SUKMA), sukan teras KBS dan mempunyai atlet dalam Program Podium sepenuh masa Majlis Sukan Negara (MSN).
Pada Sukan SEA Thailand 2025, skuad taekwondo negara meraih satu pingat emas, satu perak dan empat gangsa, termasuk emas dalam acara poomsae berpasukan wanita.
Dr Mohammed Taufiq berharap taekwondo dapat kembali menjadi penyumbang pingat utama buat negara apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.