
KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu Taekwondo Malaysia (TM) memberi tumpuan lebih serius kepada pembangunan ‘virtual taekwondo’ sebagai disiplin baharu yang berpotensi menyumbang kejayaan kepada negara.
- Virtual taekwondo belum didominasi mana-mana negara, membuka peluang strategik untuk TM menonjol di peringkat antarabangsa.
- Perbincangan dengan delegasi TM dan presidennya menumpukan hala tuju badan induk bagi tempoh 2026 hingga 2030.
- TM digesa memberi tumpuan kepada pembangunan para atlet, pegawai teknikal, penganjuran acara antarabangsa serta persiapan Sukan SEA 2027.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, disiplin itu wajar diberikan perhatian sewajarnya kerana setakat ini belum ada negara yang mendominasinya.
Beliau berkata perkara itu dibangkitkan ketika menerima kunjungan hormat delegasi TM yang diketuai presidennya, Azizul Annuar Adenan, semalam.
Pertemuan itu turut membincangkan hala tuju badan induk sukan tempur berkenaan bagi tempoh 2026 hingga 2030.
“Antara fokus menarik termasuk pembangunan para taekwondo, virtual taekwondo dan pegawai teknikal, penganjuran acara antarabangsa di Malaysia, serta persiapan menghadapi Sukan SEA Malaysia 2027.
“Virtual taekwondo, yang sudah dipertandingkan di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, membuka peluang baharu kerana disiplin ini belum didominasi oleh mana-mana negara. Besar harapan saya agar TM memberi tumpuan serius ke arah ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Virtual taekwondo adalah sukan tempur tanpa sentuhan fizikal yang menggunakan penderia penjejak gerakan pada anggota badan, termasuk paha dan tulang kering, bagi menterjemahkan sepakan serta tangkisan sebenar ke dalam persekitaran maya.
Pada masa sama, Dr Mohammed Taufiq berharap taekwondo kembali menjadi antara penyumbang utama pingat negara pada Sukan SEA 2027.
Sukan SEA 2027, yang melibatkan empat kluster utama iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor, dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September tahun depan.
Pada Sukan SEA Thailand 2025, skuad taekwondo negara meraih satu pingat emas, satu perak dan empat gangsa.