
KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Persiapan penganjuran Piala Asia 2027 di Arab Saudi masih berjalan mengikut jadual meskipun timbul kebimbangan keselamatan susulan serangan kumpulan Houthi.
- Jawatankuasa penganjur sahkan persiapan diteruskan melalui kerjasama rapat dengan AFC dan pihak berkepentingan lain.
- Komitmen memastikan semua persiapan dan sumber dipenuhi selaras aspirasi serta standard penganjuran Arab Saudi.
- Perkembangan keselamatan akan dipantau berterusan bagi memastikan kejohanan boleh berlangsung dalam keadaan sesuai dan selamat.
- Presiden AFC kata keputusan muktamad mengenai status kejohanan boleh dibuat selewat-lewatnya penghujung November; penangguhan ke 2028 masih kemungkinan.
Jaminan itu diberikan jawatankuasa penganjur tempatan susulan spekulasi mengenai kemungkinan kejohanan bola sepak utama Asia itu ditangguhkan ke 2028.
Piala Asia 2027 dijadual membuka tirai pada 7 Januari depan dengan perlawanan berlangsung di tiga bandar utama, iaitu Jeddah, Riyadh dan Al Khobar.
Dalam kenyataannya, jawatankuasa penganjur memaklumkan persiapan kejohanan diteruskan mengikut jadual menerusi kerjasama rapat dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta pihak berkepentingan lain.
Jawatankuasa itu turut menegaskan komitmennya untuk memastikan segala persiapan dan sumber yang diperlukan tersedia bagi menjayakan kejohanan berkenaan, selaras dengan aspirasi dan standard penganjuran Arab Saudi.
Bagaimanapun, perkembangan semasa berkaitan keselamatan akan terus dipantau bagi memastikan kejohanan dapat berlangsung dalam keadaan yang sesuai dan selamat.
Arab Saudi sejak beberapa hari kebelakangan ini berdepan serangan berterusan susulan peningkatan ketegangan konflik dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran.
Situasi itu turut menyebabkan beberapa acara sukan, termasuk perlawanan bola sepak domestik, ditangguhkan.
Sementara itu, Presiden AFC, Sheikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa berkata keputusan muktamad mengenai status kejohanan boleh dibuat selewat-lewatnya pada penghujung November ini.
Beliau sebelum ini memaklumkan Piala Asia 2027 berkemungkinan ditunda setahun ke 2028 sekiranya keadaan memerlukan.
Bagaimanapun, Sheikh Salman menegaskan AFC masih memantau perkembangan semasa dan belum perlu membuat keputusan dalam masa terdekat.