Belanjawan 2027: Sekolah Angkat MADANI rapatkan jurang pendidikan

Dr Mohd Haniff Mohd Tahir / Foto UPSI

IPOH, 16 Oktober – Inisiatif Sekolah Angkat MADANI yang diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 dilihat mampu membantu merapatkan jurang kemudahan pembelajaran antara sekolah bandar dengan luar bandar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama sektor swasta membuka ruang bantu penuhi keperluan pendidikan, termasuk kemudahan digital dan pembelajaran STEM.
  • Sumbangan peralatan mesti disertai latihan dan penyelenggaraan berterusan supaya kemudahan dapat dimanfaatkan secara optimum.
  • Sekolah di kawasan kampung amat memerlukan sokongan pihak luar untuk memperkukuh prasarana pembelajaran, terutamanya ICT.
  • Kerajaan perkenal Komuniti Angkat MADANI, libatkan kementerian, agensi, universiti dan institusi TVET bagi latihan kemahiran dan sokongan ekonomi.

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Mohd Haniff Mohd Tahir berpandangan, kerjasama menerusi inisiatif itu membuka ruang kepada sektor swasta membantu memenuhi keperluan pendidikan.

Ini termasuk kemudahan digital serta pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Bagaimanapun, beliau menekankan, sumbangan peralatan perlu dilengkapi dengan latihan dan penyelenggaraan berterusan bagi memastikan kemudahan itu dapat dimanfaatkan secara optimum.

“Pada saya, sumbangan daripada sektor swasta atau syarikat korporat tidak sepatutnya berhenti selepas mereka memberikan komputer atau peralatan berteknologi tinggi kepada pihak sekolah.

“Pihak sekolah dan guru juga memerlukan latihan serta penyelenggaraan yang baik terhadap peralatan disumbangkan supaya murid mendapat manfaat sewajarnya,” katanya kepada RTM.

Sementara itu, pengetua sebuah sekolah, Azmi Ismail berkata, kebanyakan pelajarnya tinggal di kawasan kampung, sekali gus menjadikan sokongan pihak luar penting dalam memperkukuh kemudahan pembelajaran.

“Kami sangat memerlukan sokongan daripada badan lain termasuk agensi swasta, khususnya untuk membantu sekolah menyediakan prasarana yang lebih baik dalam bidang ICT,” katanya.

Sementara itu, pelajar, Muhammad Muzzammil Mohamad berpendapat, penyediaan papan pintar dapat memudahkan proses pembelajaran serta pelaksanaan tugasan di sekolah.

Seorang lagi pelajar, Muhammad Hasif Hazuan pula menyifatkan, kemudahan itu bukan sahaja membantu pelajar, malah memudahkan guru menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan.

Ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI sejak 2024 telah memanfaatkan hampir 500 kampung serta 1,700 sekolah.

Antara contoh pelaksanaannya ialah SK Telok Kalong, Terengganu yang menerima bilik pemulihan khas lebih selesa serta kemudahan pembelajaran robotik hasil sumbangan Sime Darby Berhad.

Bagi 2027, kerajaan turut memperkenalkan Komuniti Angkat MADANI dengan peruntukan RM50 juta, dengan tumpuan kepada komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) di bandar.

Inisiatif itu akan melibatkan kementerian, agensi, universiti serta institusi TVET bagi menyediakan latihan kemahiran, kemudahan perniagaan dan sokongan meningkatkan pendapatan penduduk.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.