
BATU GAJAH, 26 Mei – Taktik licik sindiket menyeleweng minyak diesel bersubsidi akhirnya terbongkar apabila kegiatan mereka berjaya dipatahkan dalam Op Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dijalankan awal pagi tadi.
- Seorang lelaki tempatan berumur 38 tahun ditahan dipercayai terlibat langsung dalam sindiket penyelewengan diesel.
- Sindiket menggunakan kenderaan diubah suai dengan tangki tambahan kira-kira 2,000 liter untuk mengumpul diesel dari beberapa stesen minyak.
- Rampasan termasuk 200 liter diesel, dua IBC, pam, hos dan dokumen; nilai melebihi RM23,000, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi hasil risikan selama seminggu itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan berkenaan.
Menurut beliau, sindiket terbabit dikesan menggunakan kenderaan yang telah diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan berkapasiti kira-kira 2,000 liter bagi mengumpul diesel bersubsidi dari beberapa stesen minyak sekitar.
“Siasatan awal mendapati aktiviti ini dijalankan pada waktu malam bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa, sebelum bahan api tersebut dipercayai disalurkan ke pasaran tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam serbuan itu, pihak berkuasa turut menyita kira-kira 200 liter diesel, dua tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC), pam, hos serta beberapa dokumen pembelian.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM23,000.
Kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Pihak KPDN menegaskan akan terus mempergiat operasi pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan, khususnya melibatkan subsidi kerajaan, demi memastikan bekalan sampai kepada golongan yang layak.