Samun pemandu e-hailing guna pisau, dua suspek ditahan

Foto RTM

KOTA TINGGI, 11 Jun – Polis berjaya menahan dua individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun bersenjatakan pisau terhadap seorang pemandu e-hailing di Terminal Bas Tun Sri Lanang di sini, dalam tempoh kurang 48 jam selepas kejadian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang wanita 20 tahun ditahan sekitar terminal bas pada pukul 11 pagi; seorang lelaki 20 tahun ditahan di Dataran Larkin pada 2.30 petang.
  • Pusat kawalan menerima panggilan pada 2.46 pagi; mangsa lelaki 30 tahun pemandu e-hailing mengalami kecederaan tetapi tiada kerugian dilaporkan.
  • Polis merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan; wanita direman lima hari, permohonan reman terhadap lelaki akan dibuat.

Ketua Polis daerah, Superintendan Yusof Othman berkata, seorang wanita berusia 20 tahun ditahan di sekitar terminal bas pada pukul 11 pagi, Selasa lalu, manakala seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan di sekitar Dataran Larkin, Johor Bahru pada pukul 2.30 petang semalam.

Terdahulu katanya, Pusat Kawalan Daerah Kota Tinggi menerima panggilan pada 2.46 pagi Selasa berhubung kejadian samun yang menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, seorang lelaki berusia 30 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing.

“Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kerugian dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Wanita berkenaan telah direman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi bagi membantu siasatan, manakala permohonan reman terhadap suspek lelaki akan dibuat hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata.

Sementara itu, menerusi hantaran yang tular di media sosial, mangsa didakwa telah menerima 10 jahitan di leher akibat dikelar oleh suspek ketika kejadian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.