
AYER KEROH, 11 Jun – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh kenalannya di sebuah rumah kedai di kawasan Pokok Mangga pada Mac lalu.
- Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
- Dakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.
- Tertuduh tidak diwakili peguam dan tidak ditawarkan jaminan; sebutan semula ditetapkan pada 29 Julai.
Tertuduh, Kamil Harris Mohd Abd Nasir, 40 tahun, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Uthman Abd Ghani.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Mohd Idris Yasmir, 40 tahun di Taman Seri Pandan 1, Jalan Pokok Mangga antara pukul 10 malam pada 30 Mac hingga 3 pagi, 31 Mac lalu.
Kes didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak ditawarkan jaminan.
Mahkamah menetapkan 29 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu pada 28 Mei lalu, media melaporkan mayat mangsa ditemukan dalam gulungan tilam dengan tangan terikat di sebuah rumah kedai di Pokok Mangga sebelum polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan.