Rasuah E-Waste: SPRM serah kertas pertuduhan pegawai kanan JAS kepada AGC

Gambar hiasan

PUTRAJAYA, 25 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung isu rasuah berkait dengan pengurusan sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) dan sisa plastik membabitkan pegawai kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Isu e-waste dan sisa plastik memberi kesan serius kepada alam sekitar serta pencemaran udara, air dan tanah.
  • SPRM menyiasat dan menahan pihak yang diamanahkan bagi melindungi alam sekitar daripada pengurusan sisa tidak wajar.
  • Pasukan petugas 12 agensi putuskan pengimportan e-waste diharamkan sebagai Larangan Mutlak bermula 4 Februari 2026.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata kertas siasatan terhadap Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah JAS itu telah diselesaikan dan kini menunggu tindakan lanjut AGC.

“Berkenaan kes melibatkan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah JAS, kertas siasatan telah selesai dan dibentangkan kepada AGC dengan syor tuduh. Suruhanjaya kini menunggu pelaksanaan pertuduhan terhadap kedua-dua pegawai berkenaan dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata kertas siasatan terhadap Ketua Pengarah JAS dibentangkan pada 26 Februari manakala bagi Timbalan Ketua Pengarah pada 6 Mac.

Menurut beliau, isu pengurusan sisa buangan elektrik dan sisa plastik merupakan masalah berpanjangan yang memberi kesan kepada alam sekitar serta kesejahteraan penduduk, termasuk pencemaran udara, air dan tanah.

“Masalah e-waste dan sisa plastik telah lama dihadapi rakyat walaupun banyak aduan pencemaran dibuat. SPRM bertindak menyiasat dan menahan pihak yang diamanahkan untuk melindungi alam sekitar,” katanya.

Beliau menegaskan sebarang elemen rasuah dalam pengurusan sisa berkenaan boleh memberi implikasi besar terhadap kelestarian alam sekitar dan kesihatan awam.

SPRM mengetuai Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Import Sisa Plastik dan E-Waste yang melibatkan 12 agensi termasuk JAS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pasukan petugas itu antara lain memutuskan pengimportan e-waste diharamkan sepenuhnya dan diklasifikasikan sebagai Larangan Mutlak di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 berkuat kuasa 4 Februari 2026.

Penubuhan pasukan itu susulan penemuan serius berkaitan penyeludupan sisa elektronik, termasuk ratusan kontena e-waste yang tersadai di pelabuhan dan berpotensi mencemarkan alam sekitar.

SPRM sebelum ini dilaporkan telah menahan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah JAS bagi membantu siasatan kes berkaitan pengurusan sisa e-waste.