
JOHOR BAHRU, 25 Mac – Polis Johor menahan dua lelaki disyaki terlibat dalam kejadian kebakaran gerai mercun serta sebuah “food truck” di Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, di sini pada Isnin.
- Dua lelaki ditahan disyaki terbabit kebakaran gerai mercun dan sebuah food truck di Kampung Dato' Sulaiman Menteri.
- Salah seorang suspek memiliki lesen jual, milik dan beli mercun; umur kedua-dua suspek antara 30 hingga 35 tahun.
- Kebakaran berpunca daripada generator gerai yang terbakar sebelum mencetuskan letupan; anggaran kerugian sekitar RM50,000; tiada kecederaan dilaporkan.
Timbalan Ketua Polis Johor, DCP Hoo Chuan Huat berkata, seorang suspek ditahan pada pukul 11.15 pagi tadi di sebuah rumah di Kulai, manakala seorang lagi diberkas pada hari sama di sekitar Kampung Melayu Majidee.
Beliau berkata, kedua-dua suspek warga tempatan itu berusia antara 30 hingga 35 tahun, dengan salah seorang daripadanya memiliki lesen menjual, memiliki dan membeli mercun.
Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu, namun sebuah lori yang diparkir berhampiran turut terbakar.
“Anggaran nilai kerugian dalam kejadian ini adalah sekitar RM50,000,” katanya pada sidang media sempena Majlis Perhimpunan Peringatan Hari Polis ke-219 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini.
Hasil siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada generator sebuah gerai mercun yang terbakar sebelum mencetuskan letupan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan.