Polis tahan bapa saudara pukul kanak-kanak di Petaling Jaya

Foto fail/RTM

KUALA LUMPUR, 18 Januari -Seorang lelaki ditahan polis kerana memukul seorang kanak-kanak menggunakan rotan di Petaling Jaya semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lelaki ditahan selepas video tular menunjukkan kanak-kanak dipukul dan dibaling kerusi.
  • Siasatan awal: punca kejadian ialah mangsa didakwa melawan ibu.
  • Suspek 38 tahun merupakan bapa saudara mangsa; beberapa barangan dirampas sebagai bukti.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001; suspek direman.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1.21 petang semalam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian yang berlaku di sebuah rumah di daerah berkenaan berpunca apabila mangsa, yang berusia antara lapan hingga 11 tahun bertindak melawan ibunya.

“Rakaman video kejadian berkenaan yang tular memaparkan kanak-kanak itu dipukul menggunakan rotan serta dibaling dengan kerusi,” katanya.

Shamsudin berkata suspek berusia 38 tahun itu, yang juga bapa saudara mangsa telah ditahan dan beberapa barangan yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut dirampas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan suspek direman hingga esok.