Kes jenayah komersial di Kelantan meningkat, kempen kesedaran diperhebat

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat/BERNAMA

KOTA BHARU, 18 Januari– Jenayah komersial di Kelantan mencatat peningkatan hampir 100 peratus sepanjang tahun lalu dengan sebanyak 2,010 kes direkodkan, melibatkan kerugian mencecah RM50 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan hampir 100% kes jenayah komersial di Kelantan tahun lalu, didorong oleh penipuan pelaburan dan Macau Scam.
  • Kehilangan terbesar melibatkan bekas pengurus bank yang tertipu skim palsu, mengalami kerugian RM1.7 juta.
  • Kempen pencegahan dan peningkatan kesedaran masyarakat diperhebatkan kerana jenayah komersial lebih menguntungkan.
  • Orang ramai dinasihat segera hubungi Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional di talian 997 jika disedari ditipu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata jumlah kerugian tertinggi membabitkan seorang bekas pengurus bank yang kehilangan RM1.7 juta akibat terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud.

Menurut beliau, peningkatan ketara itu didorong oleh kes penipuan pelaburan dan Macau Scam, namun hanya kira-kira 40 peratus mangsa berjaya mendapatkan semula wang mereka.

““Kes jenayah komersial ini memerlukan tahap kesedaran masyarakat yang tinggi. Kita akan teruskan kempen pencegahan kerana penjenayah kini lebih tertumpu kepada jenayah komersial yang dianggap lebih menguntungkan, selain terdapat sedikit kelonggaran dari segi undang-undang,” kata Datuk Mohd Yusoff kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kontinjen Polis Kelantan, di sini.

Mengulas lanjut, Datuk Mohd Yusoff turut mengingatkan orang ramai supaya segera menghubungi Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NSRC) di talian 997, sejurus menyedari ditipu bagi meningkatkan peluang mendapatkan semula wang.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan indeks jenayah di Kelantan menurun 19.5 peratus, daripada 2,296 kes pada 2024 kepada 1,848 kes tahun lalu dengan penurunan ketara adalah membabitkan jenayah harta benda.