
KOTA BHARU, 18 Januari – Operasi meroboh baki 71 jeti pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sempadan Kelantan–Thailand akan disambung bermula minggu ini.
- Operasi meroboh baki 71 jeti haram di Sungai Golok akan disambung minggu ini menggunakan jentera berat dari laluan air.
- Sejauh ini 25 jeti telah dirobohkan sejak Oktober hingga Disember tahun lalu.
- Tiada provokasi atau bantahan diterima daripada penduduk tempatan sepanjang operasi dijalankan.
- Polis memburu suspek pengeboman stesen minyak dan Luna, dipercayai melarikan diri ke negara jiran, dengan kerjasama pihak Thailand.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, setakat ini sebanyak 25 jeti telah dirobohkan sejak Oktober hingga Disember tahun lalu.
“Kerja perobohan seterusnya memerlukan penggunaan jentera berat yang perlu dilakukan dari laluan air berikutan keadaan jalan darat yang sempit dan tidak sesuai untuk operasi perobohan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kontinjen Polis Kelantan di Kota Bharu.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan sehingga kini, tiada sebarang provokasi atau bantahan diterima daripada penduduk tempatan sepanjang operasi dijalankan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya sedang giat memburu beberapa suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pengeboman 11 stesen minyak di selatan Thailand dan disyaki melarikan diri ke Malaysia melalui Kelantan.
Katanya, Pasukan Cawangan Khas telah digerakkan dan kerjasama erat turut dijalin bersama pihak berkuasa Thailand bagi mengesan suspek berkenaan.
Sementara itu, operasi mengesan Luna yang juga suspek utama kes rampasan bunga ganja bernilai hampir RM2 juta di Kuala Krai pada 11 Januari lalu turut dipergiat.
Polis percaya suspek kini berada di negara jiran.