Risiko wabak pneumonik di Rusia rendah – WHO

Foto AFP

GENEVA, 6 Oktober – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menilai risiko kesihatan awam di Rusia sebagai rendah susulan laporan mengenai kematian seorang juruteknik makmal yang dipercayai akibat wabak.

RINGKASAN BERITA AI
  • WHO menilai risiko di Irkutsk sederhana hingga rendah; risiko bagi Rusia keseluruhan rendah dan risiko bagi Eropah sangat rendah.
  • Seorang juruteknik makmal, Darya Shipilova, dilaporkan meninggal dunia; pihak berkuasa menyiasat sama ada wabak pneumonik punca kematian.
  • Kontak dikenal pasti dan dipantau; ujian awal tidak mengesan patogen berjangkit berbahaya; WHO akan terus memantau dan memberi sokongan jika diperlukan.

Seorang pekerja di institut antiwabak di wilayah Irkutsk, Siberia dilaporkan meninggal dunia akibat wabak pneumonik, sekali gus mencetuskan kebimbangan minggu lalu.

Jurucakap WHO, Christian Lindmeier berkata, penilaian awal agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berdasarkan maklumat yang diterima mendapati risiko di Irkutsk berada pada tahap sederhana hingga rendah, risiko bagi Rusia pula secara keseluruhan adalah rendah, manakala risiko bagi rantau Eropah adalah sangat rendah.

“Seorang wanita yang bekerja di sebuah makmal di wilayah Irkutsk telah meninggal dunia dan pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada wabak pneumonik menjadi punca kematiannya,” katanya dalam taklimat media, di sini.

Menurut Lindmeier, juruteknik makmal berusia 28 tahun yang dikenal pasti sebagai Darya Shipilova itu bekerja di sebuah institut yang menjalankan kajian mengenai patogen berbahaya di kawasan Siberia yang sememangnya menyaksikan kewujudan wabak dalam kalangan haiwan liar.

Katanya, penyakit yang dialami Shipilova pada awalnya menunjukkan gejala seperti jangkitan virus pernafasan akut biasa.

Pihak berkuasa Rusia sudah mengenal pasti individu yang mempunyai hubungan dengan mangsa dan sedang memantau keadaan mereka.

“Berdasarkan keputusan ujian, tiada patogen penyakit berjangkit berbahaya dikesan dalam kalangan mereka yang mempunyai kontak dengan mangsa,” katanya.

WHO akan terus memantau perkembangan situasi itu dengan teliti serta bekerjasama dengan ibu pejabatnya bagi memastikan negara lain mendapat maklumat terkini.

“WHO bersedia memberikan sokongan kepada pihak berkuasa Rusia sekiranya diperlukan,” kata Lindmeier. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.