
KUALA LUMPUR, 25 September – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi hukuman bagi menangguhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda sebanyak RM11.38 bilion berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
- Najib hadir prosiding; peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam turut hadir.
- Hakim memaklumkan hujahan bertulis boleh difailkan pada bila-bila masa sebelum tarikh pendengaran.
- Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion terhadap Najib dalam kes 1MDB.
- Yang di-Pertuan Agong berkenan pengampunan bersyarat, membolehkan Najib menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah tertakluk pembayaran denda RM50 juta.
Bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 72 tahun itu membuat permohonan berkenaan terhadap sabitan bersalah dan hukuman atas empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan RM2.3 bilion dana 1MDB.
Hukuman penjara itu sepatutnya bermula selepas beliau menamatkan hukuman berhubung kes SRC International kelak.
Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin kemudiannya menetapkan 14 Oktober depan untuk mendengar permohonan tersebut.
“Memandangkan sijil perakuan segera telah difailkan. Hujahan bertulis boleh difailkan pada bila-bila masa sebelum 14 Oktober nanti,” kata hakim.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam hadir mewakili pihak pendakwaan, manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir bagi pihak Najib.
Sementara itu, Peguam bekas perdana menteri, Tan Sri Muhammad Shafee berkata, sebelum ini pihak pembelaan tidak memohon penangguhan pelaksanaan hukuman 15 tahun dalam kes 1MDB kerana Najib ketika itu sedang menjalani hukuman penjara bagi kes SRC International.
Beliau berkata, pendirian tersebut dibuat bagi memastikan hukuman yang sedang dijalani Najib tidak terputus sekiranya pihak pembelaan akhirnya berjaya dalam rayuan kes 1MDB.
Namun katanya, perkembangan terbaharu susulan keputusan Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan pada 18 September lalu mengubah keadaan tersebut.
Terdahulu, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bersidang di Istana Negara.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat memperkenankan Datuk Seri Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.