
SERI KEMBANGAN, 13 Mei – Operasi khas Ops Mahir yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya membongkar kegiatan penggajian warga asing secara haram yang didalangi warga asing sendiri.
- Premis dipercayai dimiliki dan diuruskan seorang majikan warga China yang sengaja memilih pekerja rakan senegaranya.
- 16 warga asing termasuk majikan ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
- JIM menegaskan tidak akan berkompromi; tindakan tegas akan dikenakan terhadap penggaji dan pihak yang melindungi PATI.
Operasi yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya pada jam 12.30 tengah hari di sebuah kilang pengubahsuaian dan pembekal kusyen kereta di Seri Kembangan, Selangor, hasil risikan selama seminggu selepas premis berkenaan disyaki menggaji warga asing tanpa dokumen dan permit kerja yang sah.
Menurut kenyataan media JIM, premis tersebut dipercayai dimiliki serta diuruskan oleh seorang majikan warga China yang dikesan sengaja memilih pekerja dalam kalangan rakan senegaranya.
Seramai 17 pegawai pelbagai pangkat terlibat dalam serbuan itu yang turut memeriksa 24 individu terdiri daripada 21 warga asing dan tiga warga tempatan.
Hasil pemeriksaan, 16 warga asing termasuk majikan warga China dan Myanmar berusia antara 26 hingga 35 tahun berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Dalam operasi sama, tiga Borang 29 saman kepada saksi turut dikeluarkan kepada warga tempatan bagi membantu siasatan.
Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk tindakan dan siasatan lanjut.
JIM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram, tinggal melebihi tempoh dibenarkan atau menyalahgunakan pas yang diberikan.
Tindakan tegas juga akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menggaji serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).