Op Langka: 191 individu termasuk dalang sindiket dadah di Langkawi ditahan

PDRM

KUALA LUMPUR, 13 Mei- Polis menahan 191 individu termasuk beberapa dalang utama sindiket pengedaran dadah menerusi Op Langka yang dijalankan di Pulau Langkawi dan Lembah Klang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi khas dilancarkan 10 April selepas risikan dan siasatan terperinci sejak Januari.
  • Sebanyak 231 serbuan dijalankan di Langkawi dan Lembah Klang, melibatkan pelbagai kesalahan bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
  • Rampasan termasuk 170 kg bunga ganja, 7 kg ganja, dan nilai rampasan mencecah RM14.1 juta.
  • Siasatan mendapati penglibatan anggota polis; tindakan tegas diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 dan SOSMA 2012.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata operasi khas itu dilancarkan pada 10 April lalu hasil risikan dan siasatan terperinci sejak Januari berhubung aktiviti pengedaran dadah di pulau berkenaan.

Menurutnya, sebanyak 231 serbuan dilakukan di Pulau Langkawi dan Lembah Klang melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Beberapa dalang utama berjaya ditahan dan pertuduhan telah dikenakan, manakala beberapa lagi akan menyusul.

“Antara kesalahan termasuk di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap seorang suspek yang mempunyai 10 rekod lampau, lima kes di bawah Seksyen 12(2), empat kes di bawah Seksyen 15(1)(a), serta satu kes di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Serbuan di sebuah rumah yang dipercayai menjadi lokasi ‘private party’ membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan dan tujuh wanita warga Thailand, selain rampasan 82 gram serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), 12.5 gram pil ekstasi, 12.5 gram pil Erimin 5 dan empat gram ketamin.

Sementara itu, serbuan di Lembah Klang membawa kepada penahanan tujuh individu termasuk warga asing dari Singapura dan Filipina.

Dalam operasi itu, polis turut merampas 170 kilogram bunga ganja dan tujuh kilogram ganja dengan nilai keseluruhan rampasan serta sitaan mencecah RM14.1 juta.

Menurut Datuk Hussein, hasil siasatan dan operasi mendapati terdapat penglibatan anggota polis dalam aktiviti pengedaran dadah di Pulau Langkawi.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Beliau turut menjelaskan laporan akhbar tempatan yang mengaitkan seorang individu bergelar ‘Pablo Escobar’ dalam aktiviti dadah di Langkawi adalah tidak tepat kerana hasil risikan menunjukkan sindiket itu tidak beroperasi secara besar-besaran serta tidak mempunyai rangkaian antarabangsa atau aset luar biasa.

Sebelum ini, media melaporkan kewujudan sindiket dadah di Langkawi yang didakwa diketuai seorang pegawai polis dikenali sebagai ‘Mr A’.