847 anggota ATM sertai Istiadat Mengarak Panji-Panji Diraja esok

Raptai penuh Istiadat Perarakan Panji-Panji sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Dataran Pahlawan, Presint 1/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Seramai 57 pegawai dan 847 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terlibat dalam Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Istiadat akan mengarak lima Panji Seri Paduka Baginda, simbol penghormatan negara dan taat setia ATM kepada Raja dan negara.
  • Kontinjen gabungan Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara akan menyertai perarakan, termasuk lintas hormat helikopter TUDM.
  • Istiadat diadakan sempena tahun ketiga pemerintahan Sultan Ibrahim, memperkukuh hubungan antara institusi Diraja, tentera dan rakyat serta mendekatkan masyarakat.

Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin berkata istiadat itu akan menyaksikan lima Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diarak.

Katanya, perarakan itu akan disertai kontinjen gabungan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Beliau berkata panji-panji berkenaan telah diperkenankan kepada Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, TLDM dan TUDM.

“Ia telah dikoordinasikan sejak sebulan lalu dan akan dimeriahkan dengan lintas hormat helikopter TUDM,” katanya kepada pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia (SPM), hari ini.

Menurut beliau, panji-panji itu merupakan anugerah penghormatan negara yang melambangkan taat setia tidak berbelah bahagi ATM kepada Raja dan negara.

Katanya, istiadat berkenaan diadakan sempena tahun ketiga pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selepas kali pertama dilaksanakan pada 2024.

Beliau berkata istiadat itu turut menjadi platform untuk mendekatkan masyarakat dengan sejarah dan pengorbanan ATM serta memperkukuh hubungan antara institusi Diraja, tentera dan rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.