
KUALA LUMPUR, 13 Mei- Isu membabitkan dakwaan penghinaan terhadap sahabat Nabi Muhammad SAW dalam sebuah ceramah politik mencetuskan gesaan agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu yang menyentuh isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) tanpa mengira status atau kedudukan.
- Penggunaan isu agama dalam ucapan politik mengelirukan masyarakat dan berpotensi mencetuskan perpecahan.
- Pihak berkuasa perlu bertindak tegas tanpa kompromi terhadap mereka yang menyentuh isu sensitif.
- Pelaksanaan undang-undang secara konsisten penting untuk menjaga ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat.
Seorang orang awam, Redzuan Abdullah berkata penggunaan isu agama dalam ucapan politik bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah berpotensi mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat.
“Perkara ini sudah melampau. Apabila seseorang membawa isu agama yang mengelirukan, ia boleh mencetuskan pergaduhan dalam kalangan masyarakat, khususnya orang Melayu di media sosial,” katanya ketika ditemui RTM.
Sementara itu, seorang lagi orang awam, Rizal Adam menegaskan pihak berkuasa perlu bertindak tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati menyentuh isu sensitif berkenaan.
“Tidak wajar ada kompromi dalam hal ini. Tindakan perlu diambil tanpa mengira siapa individu terlibat.
“Jika melibatkan isu 3R tindakan boleh diambil berdasarkan undang-undang sedia ada tanpa perlu menunggu laporan demi laporan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan undang-undang secara konsisten penting bagi memastikan isu sensitif tidak digunakan sehingga menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat.