
KUANTAN, 5 Mei– Malaysia mengalami kerugian mencecah purata hampir RM700 juta setahun, ekoran kegiatan perlombongan mata wang kripto Bitcoin secara haram melalui kecurian elektrik.
- Operasi bersepadu ST dan TNB berjaya mengesan dua premis perlombongan Bitcoin secara haram.
- Sabit kes mengikut Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 boleh dikenakan denda RM1,000 hingga RM50,000 atau penjara setahun.
- Aktiviti kripto tidak salah, tetapi mencuri elektrik jenayah serius, berisiko kebakaran; orang ramai diminta lapor premis mencurigakan.
Kegiatan mencuri elektrik itu kini dijalankan di premis kediaman yang disewa daripada pemilik dengan melakukan penyambungan haram tanpa melalui meter.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata jumlah kerugian yang besar itu amat membimbangkan dan memerlukan tindakan penguatkuasaan dan operasi membanteras secara lebih agresif.
“Secara purata, negara menanggung kerugian mencecah lebih RM700 juta setahun. Bayangkan dalam tempoh 10 tahun, jika kita tidak membanterasnya secara besar-besaran seperti hari ini, ia akan memberi kesan kerugian yang sangat besar kepada negara,” kata Datuk Seri Abdul Rahman kepada pemberita, hari ini.
Perkara itu didedahkan susulan pelaksanaan operasi bersepadu antara Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kuantan, Pahang hari ini, yang berjaya mengesan dua premis terlibat dalam aktiviti tersebut.
Hasil serbuan mendapati premis pertama telah menempatkan 18 mesin perlombongan kripto dengan anggaran kerugian sebanyak RM21,124 sebulan manakala premis kedua melibatkan 10 mesin dengan kerugian sekitar RM13,703 sebulan.
Tambah beliau, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 37(3), Akta Bekalan Elektrik, 1990 [Akta 447] dan jika disabitkan kesalahan, syarikat atau individu terbabit akan berhadapan dengan hukuman denda tidak kurang RM 1,000 dan tidak lebih RM 50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa aktiviti perniagaan kripto tidak menjadi kesalahan, namun perbuatan mencuri elektrik adalah satu jenayah serius yang akan diambil tindakan tegas termasuk penyambungan haram yang mengundang risiko kebakaran.
Sehubungan itu, orang ramai diseru agar lebih peka terhadap premis yang mencurigakan, khususnya rumah yang kelihatan tidak berpenghuni tetapi mempunyai penggunaan elektrik tinggi dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa.