
KUALA LUMPUR, 2 Mei– Seorang lelaki warganegara asing yang tular di media sosial selepas bertindak terjun di kawasan luar balkoni Aras 3 Terminal KLIA 2 disyaki tindakan cubaan membunuh diri dalam kejadian semalam.
- Saksi awam melihat lelaki buka beg sandang, berlari, melompat pagar halangan dan terjun kira-kira 9.10 malam.
- Pasukan perubatan memberikan rawatan kecemasan; lelaki disahkan meninggal dunia pada 2 Mei pukul 2.55 pagi.
- Lelaki dikenal pasti warganegara Algeria, 30 tahun; punca kejadian disiasat mengikut Prosedur Kematian Mengejut (SDR).
Ketua Polis Daerah KLIA, ACP Ravi Munusamy memaklumkan saksi awam telah melihat seorang lelaki warganegara asing membuka beg sandangnya dan berlari melompat pagar halangan sebelum bertindak terjun dari tempat kejadian pada kira-kira 9.10 malam.
“Pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian telah memberikan rawatan kecemasan dan lelaki tersebut dibawa ke Hospital Cyberjaya bagi tujuan rawatan lanjut.
“Lelaki tersebut kemudian disahkan meninggal dunia pada 2 Mei pukul 2.55 pagi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Hasil semakan mendapati lelaki itu merupakan warganegara Algeria berusia 30 tahun dan punca kejadian masih dalam sisatan polis.
“Setakat ini, siasatan dijalankan mengikut Prosedur Kematian Mengejut (SDR),” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian terbabit bagi mengelakkan sebarang berita tidak benar.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut, boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA di talian 03-87768222.