Jenazah gadis ditikam 61 kali selamat dikebumi, keluarga mohon ruang

Jenazah Nurfisya Zulkifly, 19 tahun yang ditemui maut dengan kesan 61 tikaman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Periang.

KUALA KANGSAR, 2 Mei– Ahli keluarga kepada mangsa yang mati dibunuh dengan 61 tikaman memohon ruang untuk bertenang kerana masih terkejut dengan kejadian bunuh tragis yang menimpa Nurfisya Zulkifly, 19 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bapa saudara berkata keluarga masih trauma dan belum bersedia berkongsi sebarang maklumat lanjut.
  • Suasana di kediaman keluarga diselubungi hiba dan sedih dengan kehadiran ahli keluarga.
  • Mayat Nurfisya ditemui dengan 61 tikaman di Jalan Kampung Kubang Kiat, Keterah pada tengah malam.
  • Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat, jenazah dikebumikan di Kampung Periang kira-kira 5.30 pagi.

Bapa saudara mangsa berkata, mereka masih dalam keadaan trauma dan belum bersedia berkongsi sebarang maklumat lanjut susulan keadaan emosi yang belum stabil.

“Kami belum bersedia untuk berkongsi, mohon bagi ruang.

“Keluarga masih dalam keadaan trauma dan belum mampu menerima kejadian yang menimpa mangsa,” katanya ketika ditemui RTM.

Kediaman ahli keluarga mangsa di Kampung Batu Jarau, Kuala Kangsar, Perak.

Tinjauan RTM di Kampung Batu Jarau mendapati suasana di kediaman keluarga diselubungi rasa hiba dan sedih.

Mayat Nurfisya dengan kesan 61 tikaman itu ditemui dalam keadaan terbaring di Jalan Kampung Kubang Kiat, Ketereh pada tengah malam kelmarin.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk proses bedah siasat.

Jenazah Nurfisya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Periang, Karai kira-kira 5.30 pagi tadi.