
IPOH 29 Julai – Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian pecah rumah di Jalan Building Society, Taman Star, di sini awal pagi Selasa, meninggal dunia di lokasi kejadian.
- Dua suspek memasuki rumah melalui tingkap diumpil dan bergelut dengan penjaga rumah sekitar pukul 5 pagi.
- Seorang suspek melarikan diri; seorang lagi ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia.
- Bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat saluran jantung tersumbat.
- Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut; disiasat di bawah Seksyen 457 dan 324. Hubungi polis jika ada maklumat.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin dalam kenyataan memaklumkan, siasatan awal mendapati dua suspek memasuki rumah berkenaan melalui tingkap yang diumpil sebelum berlaku pergelutan dengan penjaga rumah kira-kira pukul 5 pagi.
“Seorang suspek berjaya melarikan diri, manakala seorang lagi ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat masalah saluran jantung tersumbat,” menurut kenyataan itu.
Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR), manakala siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.